Wednesday, September 24, 2014

Penat

Jujur

Terasa penat. Sangat


Penat bukan dari segi jazad.
Luaran atau zahir.
Fizikal atau anggota badan.

Kalau penat yang itu, 
berlalu masa dan rehat yang sempurna
Hilanglah penat
Pulihlah semangat

Penat itu juga bukan bermaksud putu asa.
Hilang arah
Dan berhenti harap pada Allah.

Tak
Bukan itu maksud aku.
Jauh sekali aku mahu
menyalahkan Tuhan.

Bilang Tuhan itu kejam
Tak adil

Aku cuma mahu bilang,
'Penat'
yang bermakna terlalu banyak
yang datang.

Ya banyak.
Tugas mendidik. 
Yang amanahnya berat mahu diurus.
Tugas mendidik 
yang perlu kepada jiwa yang padu
dan hati yang ikhlas

Bukan atas dasar keterpaksaan dan berlakon untuk mengajar manusia.

Diri sendiri yang sangat segar ('Fresh')
dalam lapangan sebagai pendidik
masih banyak calit kotor dan aib

Tugas mengurus soal kehidupan dan rutin pelajar (Asrama)

Amanah untuk menyentuh jiwa
mahu bentuk sikap dan akhlak manusia.

Serius. Penat
Susah. Mencabar. Rumit.
Bersimpang siur.
Berduri. Sakit. Tajam. 
Berbagai situasi dan keadaan
Pelbagai karenah dan warna.

Kadang jadi serabut.
Kita sendiri jadi kalut.
Hilang fokus.
Terkapai
Jadi sesat. Teraba-raba dalam gelap
walau cahaya jelas terang.

Tak pasti mahu rasa apa.

Cuma penat.

Dan dalam kepenatan
Dalam diam, senyap-senyap
Hati cuba pujuk diri

"Orang lain di sekitar engkau mungkin lebih penat dan rumit ujian dia. 
Banding dengan ujian engkau, 
mereka jauh lebih payah. 
Mereka serius lagi susah"

"Sabar dan kuatkan kesabaran"

"Bismillah, terus belajar dan cari penyelesaian, 
Tuhan itu ada dan dia akan bantu. Yakin!"


Jauh aku termenung.
Banyak berfikir
Semuanya ligat bermain di akal

Dan penat itu sekarang jadi umpama bayang. Dia akan sentiasa ikut di belakang. Engkau tak boleh pilih untuk tak penat. Syurga itu indah. Syurga itu untuk orang yang berpenat lelah semasa di dunia.
Di situ engkau tak perlu lagi rasa penat. Rehatlah wahai jiwa! Tenanglah wahai nyawa.












Saturday, August 2, 2014

Doa untuk satu dua & tiga

Hilang kau buat aku sedar
Sakit kau latih aku sabar
Asalnya bersumber dari satu akar

Sunyi kau jadi aku leka
Kosong kau buat aku lena
Sepi kemana, hilang berita

Tak nak aku gantung tak bertali
Dibiar jalan seorang diri

Mari 
Datang sini

Kita bersahabat semula
Aku janji
Akan tetap bangkit
Biar terpaksa merangkak
Asal kau mahu kembali

Mari
Tolong aku susun semula keping hati

Bismillah

"And He found you lost and guided [you]"
[Ad-Dhuha 93:7]

Setiap hari kau kena doa, banyak-banyak, ikhlas ikhlas, dalam-dalam, penuh perhatian supaya:

Satu: Hati tetap dalam Islam
Dua: Jiwa tenang dalam kebaikan
Tiga: Roh rindu mahu pulang jumpa Tuhan.



Monday, February 24, 2014

Menanggis untuk sembuh


[Kredit]

1.00 pagi. Pejabat/bilik guru.

Tak tenang.
Jiwa aku sakit, perit, pedih.
Tapi aku tahan perasaan.
Aku pendam dalam-dalam.
Seorang.

Ya
Depan manusia aku tegar lakar senyum.
Biarlah.
Tak akan terbias di wajah apa yang terbuku di ruang dalam 
walau secalit apa yang tercarit.

Aku menangis.
Perlahan butir jernih mengalir.
Pipi basah.

Bila bulan menampak wajah, manusia lena diteman mimpi indah,
Keseorangan. Kesunyian.
Aku dengan Tuhan.
Semuanya aku luah. Aku curah.
Semuanya depan Allah.

Biarlah Tuhan. 
Jika ini yang terbaik dari sisi Engkau. 
Maha luas pengetahuan.
Ketahui segala yang ghaib.

Biarlah Tuhan,
Syurga sahaja sebaik tempat di balas kebaikan.
Hentian bagi aku untuk diganti dengan sesuatu yang jauh lebih baik.

Berikan aku rasa redha.
Pinjamkan aku sifat syukur.
Kayakan aku dengan jiwa dan fikiran yang tenang.

Biarlah Tuhan.
Bersabar dengan ujian dunia jauh lebih  mudah banding sabar diakhirat.
Sekali lagi aku menangis.
Menangis untuk sembuh.


"I tell you to keep going, not because it's easy. Not because it doesn't hurt. I tell you to keep going because there's no other way. To stop is to die. Life is in motion. In growth. In change. Life is in seeking and in finding. Life is in redemption. Each moment is a new birth. A new chance to come back, to get it right. A new chance to make it better" 
-Yasmin Mogahed


p/s: Maaf bagi yang membaca, tiada apa yang menarik mahu aku kongsi kali ini, mungkin hanya buang masa kalian. Jujurnya, sejak akhir ini ada keserabutan yang datang menyinggah. Aku fikir, ini ujian Tuhan, dia tahu aku mula asyik dengan dunia (barangkali dijangkit wabak Hubb al-dunya (cintakan dunia), karahiyah al-maut (bencikan mati). Jadinya Tuhan, mahu aku segera tingkat rasa rindu dan taubat pada Dia. 


Tuesday, February 11, 2014

3 soalan.

Ini aku terfikir
Pelajar yang mendaftar hampir kesemuanya terbaik. Masing-masing punya rekod cemerlang dari segi akademik dan sahsiah peribadi. Jika nun, di penghujung tahun sesi persekolahan, 
pihak sekolah boleh merasa gembira, suka dan bangga kerana berjaya melahirkan pelajar cemerlang, 

aku tanya semula diri, 

jika diawalnya cemerlang apa yang luarbiasanya?

Bagaimana dan siapa yang mahu beri perhatian, mahu hulur tangan barang dipimpin, ditunjuk jalan buat pelajar yang biasa-biasa atau corot? Pelajar yang mencabar dari segi akhlak mereka. (aku tak suka guna istilah pelajar bermasalah sebab jelas konotasi negatif) 

Aku tanya kali kedua,

Dimana mereka dan ada sesiapa yang ambil peduli? Atau ini realiti hari ini?
Anda corot, kalian bengap. Selamat tinggal dunia, masa depan punah!

Dan sekali lagi aku tanya diri, buat kali ketiga.

Peranan aku dimana? 
[KHALIFAH MODEL SCHOOL SECONDARY]
Di sini. Di sekolah ini.
Kami punya impian dan kami berusaha mencapainya.
Kami mahu membantu mengisi lompong dalam sistem pendidikan yang ada sekarang. Maaf, aku sudah serik. Serius. Aku sudah insaf. Kalau dulu, aku berdegar-degar teriak kritik sana sini tentang betapa tenat dan bermasalah sistem pendidikan yang ada sekarang tapi sangatlah kontang sisi praktikalnya. Sekarang, aku memilih untuk serius berpijak pada realiti dan menabur amal, menyemai benih seawal mungkin.

Tiga soalan buat diri.



Sunday, February 2, 2014

Kembali pulih

Bismillah

Ok. Aku mengaku. Ini hanya alasan. Ini sekadar cliche sampingan.
Lama sudah terbiar sepi. Habis sunyi.
Kalau aku bilang 

"Tak sempat menulis, berkongsi cerita, berbagi pengalaman sebab kesibukan..bla, bla, bla"

Terang-terangan aku sekadar cari alasan.
Sekali lagi aku minta maaf. Serius.
Hakikatnya, tak sepatutnya aku sibuk beralasan kenapa tak sempat meluah akal fikiran, masa memang akan tetap sama tak kira status kalian. Ia tak pernah tunggu, apatah lagi mahu menberi peluang kedua. Mahu ditebus barang sejam dua yang hilang tanpa sebarang bekal amal?
Belek semula surah demi masa. 

Itu --- > manusia sentiasa dalam kerugian.

Yang boleh dikawal adalah soal mengurus masa dalam celah-celah kesibukan tugas harian.

Kalau tanah subur ditabur benih, dibiar lama, dijaga rapi hasilnya nampak buahan merimbun. 
Berkat jadi sumber jualan. Rezeki dari langit hasil usaha tapak tangan.
Banding dengan laman tak seberapa ini andai terbiar hanyut, habis otak mundur. Sendirian aku yang rugi.

Kisahnya:

Mula dari disember tahun lepas rezeki Tuhan aku diterima menjadi sebahagian keluarga Khalifah Foundation. Sebuah institusi pendidikan swasta yang punya visi dan misi besar untuk masyarakat.
Boleh baca di sini untuk tahu lebih lanjut.

Dan sememangnya, rezeki terpilih menjadi sebahagian dari kelompok manusia yang hebat di situ, harus dipikul juga satu amanah dan tanggungjawab besar di pundak.

Dan tahun 2014 ini bakal jadi satu kisah yang berbilang warna dan pelbagai rasa aku kira.
Di depannya; ujian, masalah, cabaran dan peluang bakal menyusul. Semuanya perlu aku tempuh, sebab melarikan diri dari tiap sesuatu tidak akan pernah menyelesai masalah.

Dan mulut mengungkap bismillah.
Tawakal dan redah!


Sengaja aku muat turun gambar bersaiz besar. Simbolik mahu punya keluasan jiwa yang tenang,
sekadar bermimpi dan berangan. Terbaring sendirian, termenung merasa kebesaran Tuhan. Dan hasilnya tercurah di laman.

[Kredit]

p/s: Siapa sangka rezeki aku di bidang pendidikan. Ya. Hati dan jiwa aku dekat dengan mendidik. Berkawan, berinteraksi dan mengenal anak-anak muda remaja disekolah. Nanti akan aku kongsi kisah pengalaman selama sebulan menjadi pendidik di Khalifah Model School Secondary (KMSS). Moga Tuhan redha.

Thursday, January 2, 2014

Penghujung


Seminggu sebelum menjengah tahun baru, Tuhan kirim rezeki.
Satu pakej.

Demam panas
Selera makan menurun
Loya, mual
Pening
Sakit-sakit
Lenguh badan

Sekadar terbaring. 
Letih
Hampir seminggu
Berat susut.
Muka jadi cekung. Kurus bertambah kurus.

Menjelang tahun baru
Januari yang baru, 
Tuhan pinjamkan semula kesihatan.

Alhamdulillah

Harapnya sakit ini jadi rezeki dosa dicuci.
Tuhan angkat dosa aib.

Dan syukur

Nyawa aku masih berdenyut.

Monday, December 16, 2013

Bisik



[Kredit]
Suara perlahan malam ini
rayu dalam-dalam 
Mohon
Tuhan cantum semula gumpal daging.

Pecah terpisah
Retak terbelah
Hancur merekah

Sadis
Suara berbisik malam ini

Rintih sungguh-sungguh
supaya ditetapkan dalam kebaikan dan bertuhan

Aku hanya mahu yang satu itu saja.
'klise' bunyi nya.
Ya aku tau.
Tapi cuma itu saja.

Jujur. serius. redha engkau wahai Tuhan.


p/s: 
Bulan menampak wajah. Indah. Sayup aku mohon pada kau Tuhan, 
pimpin tangan dari lelah dunia. Tunjuk jalan dari celah jahiliah. 


Friday, November 29, 2013

Laut. Bangunan


[Kredit]

Laut dalam
                 
                Kalau kau terjun buta-buta
                memang sengaja cari nahas
                jaket keselamatan, ilmu berenang, tali pertolongan, 
                pelampung, bot penyelamat
                Cari. Sediakan


Bangunan tinggi

                    Kalau kau terjun suka-suka
                    Memang jenis tolol
                    Tiup belon helium
                    Biar beratus, biar beribu
                    asal kukuh. Yakin boleh terbang jauh


Kehidupan persis laut yang dalam dan bangunan yang tinggi. Kalau kita redah tanpa persediaan rapi jangan harap mahu selamat.

Itu. Sejak azali, Tuhan kirim nabi. Jadi pembawa berita gembira, pemberi peringatan, pembimbing jalan.

Pegang, jangan dilepas. Tali hubungan Tuhan.



Wednesday, November 27, 2013

Jadi memori yang ditinggal

[Kredit]
Satu hari nanti
Di selak keping gambar
Kita akan tersenyum manis mengimbau memori lama

Satu tika nanti
Di singkap cacatan maya
Kita akan belajar membesar, menimba pengalaman tulis baca


Kita mungkin tak pernah dan memang tak akan pernah bertemu sosok ilmuan atau peribadi lampau yang telah banyak berjasa untuk manusia hari ini. Sosok tubuh mereka sudah reput. Tinggal cebisan tulang belulang dan sisa rangka. Ada juga manusia pilihan Allah, tubuh mereka utuh terpelihara. Yang pasti mereka jelas jadi sebutan bibir hasil titik peluh mereka menyumbang, membaca, menelaah, berfikir, menaakul, merenung dan semuanya tertuang dan diterjemah jadi aksara. Kita hari ini berhutang minda dan idea dengan menatap baca adikarya mereka.

p/s: terfikir dan bermimpi - untuk generasi anak cicit aku nanti biarlah  mereka kenal moyang mereka melalui tulisan. Dan cebis tulisan di blog ini harapnya jadi memori yang ditinggal. Moga Tuhan redha.

Wednesday, November 20, 2013

Jiwa manusia, I, II, III

iquoterelatable:

Click here for more personal!
[Kredit]

Untuk manusia I
aku belajar kasih anak dengan ibu.
banding diri yang masih malu
berbual mesra dengan ayah ibu

Untuk manusia II
aku belajar jujur tanpa berpura-pura
banding diri yang masih tegar bertopeng muka
seolah malaikat tanpa aib cela

Untuk manusia III
Aku belajar mula kenalan dengan kasih sayang
bukan penghukum, sinis depan belakang


Tuhan,
untuk manusia IV, V, VI, seterusnya
aku mohon 
dari diri mereka, aku mampu singkap
ilmu yang bermanfaat
rezeki yang berkat
dan amal yang diterima

Sunday, November 17, 2013

Sekejapan

[Kredit]
Jaka termenung lama.
Langit malam tenang, aman.
Gadis sedar tapi sekadar membiar
Seolah merasai dengan jelas jiwa manusia disebelah

Walau sekejapan
sepantas kerlipan mata
tapi kalau moment itu mampu buat dia sendu 
sebab teringat Tuhan dan Muhammad
Jadi rindu.
Jelas, itu terlebih cukup. Sangat.

Sebab dalam diari dia hari-hari
Jaka serius tersibuk dengan basa-basi lelah dunia.

Masing-masing selesa
sekadar berdiam tanpa bunyi

'Bulan terlihat indah'
- Jaka dan gadis berbisik sendiri

Waktu sekejapan itu
Masing-masing ingin melupa dunia
Yang ada Tuhan dan nabi cuma.

Bismillah.

p/s: Rasa takut. risau. Tahu cara pandang muslim itu melihat dunia sebagai bekal amal, sumber ibadah untuk kehidupan akhirat. Tapi, terkadang dalam tindakan, fikiran sangat mudah jadi mainan hamba dunia. Aku resah... -.-'
Tuhan, jangan biar dunia ini jadi kerisauan aku yang paling besar, sampai melupa akhirat yang mendasar.


Friday, November 15, 2013

Masterpiece


[Kredit]

What a beautiful creation
Even though they might not know each other
Both are different
Strangers

They speak different language
Both were created for a different purposes and responsibilities

But
the fact that both were created by the most merciful and lovely God,
they are able to care and love for others.

A wonderful masterpiece from Him.


Wednesday, November 13, 2013

Topeng pura



[Kredit]
Kita hias penuh ghairah
Celah busuk, 
sisi cela habis terlihat indah

Manusia keliling terkagum
bilangnya mereka terjumpa peribadi mulia
teringin ikut jejak, contohi langkah

Kita seronok
pujian melambung

Diri leka,
yang tertipu siapa sebenarnya

Masih galak pakai topeng pura
terbias indah tanpa secalit cela
Sayang sungguh dengan topeng pura.

Kita bukan jadi kita.
Kita jadi si topeng pura.

Jangan.
berhenti
tanggalkan segera.

Siapa?
Cuba lihat cermin.
itu orangnya.


p/s: Aku tuliskan ini, tak lain pesan untuk diri. Bila-bila masa aku mungkin tak sedar, perilaku aku depan manusia penuh pura-pura, hipokrit, dwi-personaliti. Pesan aku, jadi diri sendiri. Ikut suara hati. 

p/s #2: Jadi diri sendiri bukan bermaksud, redha dan terima buta-buta sikap sendiri yang memang jelek, busuk, kotor, jijik. Itu semua racun jahiliah yang memang kena cuci dengan klorok, sental sampai bersih. Yang aku maksudkan, jangan berpura-pura baik depan manusia. Mulut berbahasa manis, perbuatan terlihat sumbang.


Tersenyum manis

Just breathe. x
[Kredit]
Dia janji akan terus tersenyum manis
Gadis faham tak boleh terusan menangis
Air mata diseka. Mata sedikit sembab

Kawan rapat tanya

"Kenapa?"

Gadis jawab, perlahan.

"tak, cuma rindu Nabi" 
"Aku penat dengan dunia serba-serbi"

Kawan rapat diam. Tanda faham

Dalam hati, masing-masing doa. Penuh harap

"Tuhan, bimbing kami. 
Jangan biar lepas, 
terkapai-kapai lemas. 
Dalam gelap tercari-cari."

"Mari.." - ajak kawan rapat pada Gadis.

Muka

tangan 
kepala 
telinga 
kaki 
dibasah
Malam itu, sujud mereka panjang dan lama dari biasa.
Tiap isi hati dan hajat diluah, mohon kasih dari Allah.


Wednesday, November 6, 2013

Kembali. Hati masih belum mati.

[Kredit]

Jaka termenung
Sesuatu bermain di fikiran.
Di tangan ada senaskah Al-Qur'an
Terjemahan bahasa Inggeris, tulisan M.A.S Abdel Haleem, cetakan 2010

Rambang
Halaman kitab diselak. Dibelek
Tak ada ayat khusus dicari

Keliru.
Jaka tak pasti
mahu mula dari mana

Dia diam
Senyap. Sunyi

"Lama dah aku tinggal" 
- getus hati

"Bila kali terakhir, aku sentuh, baca?" 
- sekadar bermonolog sendiri

Menyesal. Emosi bercampur baur
Tapi itu kali pertama dia rasa tenang. Aman
Sedar. Itu jadi titik mula kembali cari Tuhan.

Tuhan yang memperkenal diri sebagai Ar-Rahman Ar-Rahim.

Tangan menadah.
Dua sisi tapak kiri dan kanan bertemu
Ada butir jernih mengalir laju.

Malam itu,
perlahan hujan turun.
Lebat.
Rahmat
Seolah-olah hujan faham jiwa Jaka.




Monday, November 4, 2013

Menjahit luka

phytos:

張 勃雲
[Kredit]
Luka yang berdarah dijahit semula
Perlahan
Penuh perhatian

Sakit
Tahan sekejap
Luka cuma luaran. 
Masa berjalan perit pun hilanglah

Luka didalam?




Friday, November 1, 2013

Persoalan

Pam Cooley Photography
[Kredit]
Dia terfikir.
Ada persoalan terukir.

---   Manusia mati untuk kembali jumpa Tuhan
      Manusia mati untuk pulang ke kampung halaman.

      Soalan untuk akal
      Sudah cukup bekal amal?

      Soalan untuk hati
      Karat jahiliah sudah habis dicuci?

      Pesan nabi,
      Optimis
      Bukan pesimis

      Walau esok kiamat

      dan di tangan ada benih tumbuhan.
      Korek tanah
---   Tanam

Dan dipangkuan dia ada sosok jiwa kecil
innocent. pure. fragile
Dirangkulnya penuh cermat.
Makin erat.
Terasa hangat 
Dahi menyentuh dahi
Pesan hati

"Ini amanah"

Pipi mula beransur basah..

Monday, October 28, 2013

Mimpi. Rindu

[Kredit]
Usai solat. Sejadah dilipat
Dia baring. Terlentang atas tilam

Penat dengan dunia
Mahu berehat sekejap bilangnya
Cuba tidur. Dipejam mata

Malam ini bulan terlihat indah.
mungkin sebab sudi menampakkan wajah

Dia pesan sendiri.

"Tuhan, malam ini aku ingin bermimpi nabi"

"Rindu"

Bisik hati

Doa penuh perasaan
tinggi pengharapan

Pipi terasa basah.
Tak sedar
Empang mula pecah

Mugkin sebab terlalu rindu.


Thursday, October 24, 2013

Harapan. Impian

[Kredit]
Yang menyimpan harapan
ilmu diamal
dari lembar kertas
disemai
berbakti pada alam

Yang menaruh impian
Seimbang antara
hutan konkrit dan rimbun hijau
tak rakus
menarah bukit
menebang pokok yang perit
tak ghairah
mencemar langit
menyumbat sungai yang sempit

sukar
betul

Janggal
siapa sangkal

kesedaran yang ada
sekerat cuma

biarlah suara sinis 
menari lagak
tapi selagi jasad mengandung jiwa
alam tak sekali diabai
terbiar tak dibela.


Wednesday, October 23, 2013

Caci. Puji



Kalau alam boleh bersuara
Mungkin manusia akan lebih banyak dicaci banding dipuji

Kau rasa?








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis