Wednesday, September 5, 2012

Kanser


Sudah lebih sebulan (30/7 - 5/9),
hospital sudah bagai jadi rumah. Tiap hari sekadar terbaring lemah di katil wad.

Doa aku tiap kali dalam sujud

Moga sakit penat Pak long (panggilan untuk pakcik belah Ibu) menahan kanser, Tuhan ganti dengan pahala & mudahnya urusan di akhirat

Moga tiap lelah penat menghirup nafas, Tuhan ganti dengan rahmat & ampunan dosa
Moga tiap detik si isteri (Mak long) yang setia berulang alik ke hospital (pagi ke sekolah menjadi pengajar, petang hingga malam di samping suami), Tuhan ganti dengan nikmat syurga dan redha suami.

Besarnya pengorbanan Mak Long... ='(

Moga tiap titis air mata sanak saudara yang datang melawat, jadi doa buat pak long supaya cepat sembuh.

Besarnya kuasa Tuhan aku lihat jelas pada pak long.


"Dan barangsiapa kami panjang kan umurnya niscaya kami kembalikan dia kepada awal kejadiannya (kembali menjadi lemah dan kurang akal seperti anak kecil). Maka mengapa mereka tidak mengerti?" 
(Yassin: 68)

Monday, September 3, 2012

Tiada yang kebetulan

Tiada yang kebetulan. 

Semuanya sudah dalam takdir & percaturan Tuhan. 

Apa yang jelas bagi aku, manusia bebas membuat pilihan. Terserah pada diri sendiri.


          ".....Mereka tidak menzalimi Kami, tetapi merekalah yang menzalimi diri sendiri" 
(Al-Baqarah: 2: 57)

Wednesday, August 8, 2012

Nikmat #4 kasih sejarak dua jari

Seorang demi seorang

Dari sekecil 4 tahun, hinggalah ke umur belasan
Disantuni, di sayangi
Semuanya aku lihat ceria, gembira
Tersenyum mereka, terserlah sebaris gigi yang putih tu.
Sudah macam adik sendiri aku kira.

Dalam suasana yang meriah
Mata mereka, aku perhatikan, aku tenung dalam-dalam
hati jadi sayu
mahu saja menanggis saat itu
Tapi akal beritahu emosi.
Supaya jadi ceria depan mereka.
"Ini waktu bergembira, jangan tukar jadi duka"

Cukup bermakna bila terjumpa sabda baginda
Sang Nabi si anak yatim
Menjanjikan cinta sedekat dua jari
Buat kaafilul yatim
Pembela  al’aytaam
Penyayang dan kasihkan mereka


Dari Sahl bin Saad r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda: "Saya dan orang yang menjamin anak yatim di dalam syurga nanti adalah seperti ini: Beliau menunjuk kepada jari telunjuk dan jari tengahnya. 
(HR Bukhari Jilid 4 #1700)



Dari Abu Hurairah R.A: Katanya Rasullullah s.a.w bersabda:
"Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau
 tidak, maka aku dan dia seperti dua ini kelak di syurga" Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan)
(HR Muslim Jilid 4 #2503)


Terpilih menjadi ahli syurga itu sendiri sudah satu nikmat maha besar, apatah lagi bila dapat bersama sang Nabi sedekat dua jari!.  Masih belum rasa teruja kah?


Aku cukup cemburu dengan nikmat itu
kasih sejarak dua jari
Ya Tuhan, aku juga mahukan nikmat bersama Muhammad Ibn Abdullah di syurga sedekat dua jari. Ya, dua jari itu. 


Tak putus mulut dan hati aku berdoa
Kebaikan yang pastinya hanya Tuhan mampu lunaskan.

Ini nikmat ke #4 Tuhan berikan pada aku untuk ramadan hari sembilan yang lepas. Syukur ya Allah!. Berpeluang berbuka puasa dan solat bersama anak-anak yatim serta penjaga mereka di [Rumah Amal Kasih Bestari]. Kg Melayu Subang.

Bukan semua orang dapat peluang sebegini. Menyantuni, menyayangi, mengasihi anak-anak yatim. Ya lah, bila kita punya kehidupan yang selesa, masih ada ibu dan bapa, kiri kanan kemewahan tersedia, mudah untuk kita lupakan insan yang sudah tiada orang tua.

Credit to Nayzak
Tuhan mudahkan urusan mereka
Tuhan kurniakan syurga buat mereka
Tuhan ampunkan untuk mereka segala khilaf dan dosa
Tuhan rahmatilah mereka

Mereka itu. al’aytaam. Anak-anak yatim
Mereka itu. kaafilul yatim. Si penjaga anak yatim

Owh ya, lagu ini : kasih sejarak dua jari (oleh Bro Muadz) betul-betul luarbiasa. Pernah engkau jumpa artis yang menjadikan hadis Nabi sebagai lirik dalam lagu. Sungguh, mereka ni punya kreativiti yang tinggi!.Nikmat yang pastikan milik Tuhan!


Kasihi anak yatim itu. Dengan izin Tuhan, engkau bakal diberikan
kasih sedekat 2 jari

Ramadan hari #9
__________________________________________________________________________________
p/s: Pulang dari rumah anak-anak yatim. Dalam hati aku menanggis. "Alhamdulillah, orang tuaku masih di panjangkan umur".

p/s: Salah satu dream (impian) aku. Mahu ambil seorang anak angkat. Moga Tuhan izinkan.

Friday, July 27, 2012

Nikmat #3 Dengan rahmat Tuhan ia jadi mudah

Sungguh luar biasa.

Mulanya, aku letakkan sasaran dalam tempoh tiga bulan (baca sini: Mula bulan Mei, Tempoh 90 hari) aku mampu hafal penuh Juz 1. Mula dari ayat 1 hingga ayat 141 surah Al-Baqarah.

Tapi sehari sebelum tiba Ramadan, nyata niat itu tak kesampaian. Sedih. Sudah tentu.Namun, dengan rahmat Tuhan, ia mudahkan untuk aku hafal hampir separuh dari Juz 1 (50% dari target asal). SubhanaAllah! Alhamdulillah!. Aku kira nikmat itu sudah cukup besar. Ya, cukup bermakna. Cukup berharga. 

Bukankah itu satu rahmat dan bukti Tuhan bahawa dia sememangnya telah jadikan al-Qur'an itu mudah?


"Sesungguhnya, kami telah permudahkan Al-Qur'an itu untuk dikuasai, 
maka tidak adakah orang yang sudi menguasainya? (Mengambil pelajaran)"
[Al-Qamar :17]




Mengapa aku bilang ia satu nikmat yang cukup istimewa?

Kerana, Qur'an bagi aku dulu hanya sekadar perhiasan. Sangat jarang mahu di baca. Jauh sekali mahu di hafal. Mahu tadabbur (Memikirkan ayat-ayat) maknanya? Usah cerita. Konon atas alasan kitab ini terlalu 'suci' untuk di baca. Akhirnya, cicak dan labah-labah menjadi pembaca setia. Huh! Entah apa ideologi senget yang aku pegang dulu.

Sudahlah bacaan tunggang-langgang. Merangkak-rangkak. Tajwid pula habis di langgar. Mana alif, mana ba, semua habis aku redah. Puas sudah di rumah ayah mengajar. Diri sendiri yang sombong dan malas tak tentu pasal!. Waktu zaman sekolah, jika ustaz mahu buat ujian bacaan Qur'an, aku lah orang yang paling tak suka. Cuba cari jalan mahu mengelak dari bersemuka dengan pak ustaz. Aduh! Harap saja pelajar aliran agama. Malu.

Tapi sekarang, Tuhan campakkan rahmatnya untuk aku mudah baca dan mampu hafal kalamnya. Sujud syukur aku pada engkau wahai Tuhan!.


Terus-terusan ini jadi satu motivasi bagi aku. Pasti. Takkan jadi sia-sia. Target baru:


"Mahu hafal lagi separuh Juz 1"

Jadinya, di penghujung tahun ini (tempoh lebih kurang 4 bulan lagi) aku mampu hafal satu juz Al-Qur'an. Bi iznillah (Dengan izin Tuhan)
Tuhan, mudahkan lah!. Kalian yang sedang baca. Mohon doanya.


Sepanjang tempoh Ramadan ini, aku berhenti dari menghafal ayat-ayat baru. Sebab sudah aku tetapkan untuk tempoh sebulan ini sebagai fasa mengulang untuk kukuhkan hafalan yang sedia ada. Ya. Ulang setiap ayat yang di hafal setiap hari selama 29 hari. Mahu kalam itu sebati dalam hati!.

Masing-masing punya cara tersendiri bagaimana mahu menghafal Qur'an. Ini cara aku menghafal (Kenapa 3 bulan). Moga bermanfaat.


Mampu hafal separuh dari Juz 1. Itu nikmat #3 dari Tuhan untukku.

Ramadan hari #7

Thursday, July 26, 2012

Nikmat #2 Imam itu menangis


Pernah engkau rasai saat bila sedang solat, terasa pipimu basah dek air mata yang mengalir tiba-tiba?.
Detik itu pasti suatu yang istimewa. Ya. Aku pasti. Seribu satu perasaan timbul.

Takut.
Rasa berdosa yang teramat.
Mahu segera bertaubat.
Mahu kembali pada kasih Tuhan.
Takut dengan azab dan murka Tuhan.
Terkenang akan sikap jahiliah dulu.



Sungguh besar impak kalam Tuhan itu pada diri.

Itu apa yang aku rasa bila berpeluang solat isyak dan tarawikh di masjid negara. (Waktu ramadan hari #4) Syahdu. Tapi tidaklah sampai air mata aku mengalir. Mungkin sebab hati masih hitam. Keras dengan sisa-sisa jahiliah dan dosa. Hurm...

Maha suci Tuhan yang berikan nikmat itu. 
Imam itu menangis dengan bacaan yang teresak-esak apabila sampai pada kalam Tuhan dalam surah An-Nisa': 41-42

Mulanya aku tak pasti ayat ke berapa dan surah mana yang di baca oleh imam. Apatah lagi makna ayat yang di baca sampai imam jadi syahdu dan menangis. Tapi aku jadi tahu bila ayat selepas itu berbunyi
 
'Ya ayyuha allatheena amanoola taqraboo assalata waantum sukara hatta.....'

Tersentak. Aku 'familiar' dengan ayat ini. Terus aku hafal. Selesai tarawikh dan pulang ke rumah terus aku taip di google dan cari sumbernya di internet. Bila sudah tahu terus aku baca terjemahannya. Aku rujuk tafseernya.

Subhanallah. Sungguh nikmat luarbiasa Tuhan campakkan pada imam itu. Sampai aku yang penuh dosa ini pun Tuhan pilih untuk sama rasakan nikmat. Walaupun secebis. Alhamdulillah. Nikmat yang luar biasa. Aku kira.


Ya Rabbi, igfirli (Wahai Tuhanku!, ampunkanlah dosaku)


Ibnu Mas'ud r.a mengatakan: suatu ketika Nabi s.a.w berkata kepadaku,

"Bacakanlah al-Qur'an kepadaku"

Maka kukatakan kepada beliau, : Wahai Rasulullah, apakah saya bacakan al-Qur'an kepada anda sementara al-Qur'an itu diturunkan kepada anda?"

Nabi menjawab: "Sesungguhnya, aku senang mendengarnya dibaca oleh selain diriku"

Maka aku pun mulai membacakan kepadanya surat An-Nisaa'. Sampai akhirnya ketika aku telah sampai ayat ini (yang artinya)

"Lalu bagaimanakah ketika kami datangkan saksi bagi setiap umat dan kami jadikan engkau (Muhammad) sebagai saksi atas mereka" 
(An-Nisaa' : 41)

Maka beliau (nabi) berkata: "Cukup, sampai di sini saja". Lalu aku pun menoleh kepada beliau dan ternyata kedua mata baginda mengalirkan air mata.

[HR Bukhari #4763, Muslim #800]


Pada ayat 41, surah An-Nisaa'
Nabi menangis. Imam itu menangis. Aku?

Ramadan hari #4
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis