Wednesday, September 24, 2014

Penat

Jujur

Terasa penat. Sangat


Penat bukan dari segi jazad.
Luaran atau zahir.
Fizikal atau anggota badan.

Kalau penat yang itu, 
berlalu masa dan rehat yang sempurna
Hilanglah penat
Pulihlah semangat

Penat itu juga bukan bermaksud putu asa.
Hilang arah
Dan berhenti harap pada Allah.

Tak
Bukan itu maksud aku.
Jauh sekali aku mahu
menyalahkan Tuhan.

Bilang Tuhan itu kejam
Tak adil

Aku cuma mahu bilang,
'Penat'
yang bermakna terlalu banyak
yang datang.

Ya banyak.
Tugas mendidik. 
Yang amanahnya berat mahu diurus.
Tugas mendidik 
yang perlu kepada jiwa yang padu
dan hati yang ikhlas

Bukan atas dasar keterpaksaan dan berlakon untuk mengajar manusia.

Diri sendiri yang sangat segar ('Fresh')
dalam lapangan sebagai pendidik
masih banyak calit kotor dan aib

Tugas mengurus soal kehidupan dan rutin pelajar (Asrama)

Amanah untuk menyentuh jiwa
mahu bentuk sikap dan akhlak manusia.

Serius. Penat
Susah. Mencabar. Rumit.
Bersimpang siur.
Berduri. Sakit. Tajam. 
Berbagai situasi dan keadaan
Pelbagai karenah dan warna.

Kadang jadi serabut.
Kita sendiri jadi kalut.
Hilang fokus.
Terkapai
Jadi sesat. Teraba-raba dalam gelap
walau cahaya jelas terang.

Tak pasti mahu rasa apa.

Cuma penat.

Dan dalam kepenatan
Dalam diam, senyap-senyap
Hati cuba pujuk diri

"Orang lain di sekitar engkau mungkin lebih penat dan rumit ujian dia. 
Banding dengan ujian engkau, 
mereka jauh lebih payah. 
Mereka serius lagi susah"

"Sabar dan kuatkan kesabaran"

"Bismillah, terus belajar dan cari penyelesaian, 
Tuhan itu ada dan dia akan bantu. Yakin!"


Jauh aku termenung.
Banyak berfikir
Semuanya ligat bermain di akal

Dan penat itu sekarang jadi umpama bayang. Dia akan sentiasa ikut di belakang. Engkau tak boleh pilih untuk tak penat. Syurga itu indah. Syurga itu untuk orang yang berpenat lelah semasa di dunia.
Di situ engkau tak perlu lagi rasa penat. Rehatlah wahai jiwa! Tenanglah wahai nyawa.












Saturday, August 2, 2014

Doa untuk satu dua & tiga

Hilang kau buat aku sedar
Sakit kau latih aku sabar
Asalnya bersumber dari satu akar

Sunyi kau jadi aku leka
Kosong kau buat aku lena
Sepi kemana, hilang berita

Tak nak aku gantung tak bertali
Dibiar jalan seorang diri

Mari 
Datang sini

Kita bersahabat semula
Aku janji
Akan tetap bangkit
Biar terpaksa merangkak
Asal kau mahu kembali

Mari
Tolong aku susun semula keping hati

Bismillah

"And He found you lost and guided [you]"
[Ad-Dhuha 93:7]

Setiap hari kau kena doa, banyak-banyak, ikhlas ikhlas, dalam-dalam, penuh perhatian supaya:

Satu: Hati tetap dalam Islam
Dua: Jiwa tenang dalam kebaikan
Tiga: Roh rindu mahu pulang jumpa Tuhan.



Monday, February 24, 2014

Menanggis untuk sembuh


[Kredit]

1.00 pagi. Pejabat/bilik guru.

Tak tenang.
Jiwa aku sakit, perit, pedih.
Tapi aku tahan perasaan.
Aku pendam dalam-dalam.
Seorang.

Ya
Depan manusia aku tegar lakar senyum.
Biarlah.
Tak akan terbias di wajah apa yang terbuku di ruang dalam 
walau secalit apa yang tercarit.

Aku menangis.
Perlahan butir jernih mengalir.
Pipi basah.

Bila bulan menampak wajah, manusia lena diteman mimpi indah,
Keseorangan. Kesunyian.
Aku dengan Tuhan.
Semuanya aku luah. Aku curah.
Semuanya depan Allah.

Biarlah Tuhan. 
Jika ini yang terbaik dari sisi Engkau. 
Maha luas pengetahuan.
Ketahui segala yang ghaib.

Biarlah Tuhan,
Syurga sahaja sebaik tempat di balas kebaikan.
Hentian bagi aku untuk diganti dengan sesuatu yang jauh lebih baik.

Berikan aku rasa redha.
Pinjamkan aku sifat syukur.
Kayakan aku dengan jiwa dan fikiran yang tenang.

Biarlah Tuhan.
Bersabar dengan ujian dunia jauh lebih  mudah banding sabar diakhirat.
Sekali lagi aku menangis.
Menangis untuk sembuh.


"I tell you to keep going, not because it's easy. Not because it doesn't hurt. I tell you to keep going because there's no other way. To stop is to die. Life is in motion. In growth. In change. Life is in seeking and in finding. Life is in redemption. Each moment is a new birth. A new chance to come back, to get it right. A new chance to make it better" 
-Yasmin Mogahed


p/s: Maaf bagi yang membaca, tiada apa yang menarik mahu aku kongsi kali ini, mungkin hanya buang masa kalian. Jujurnya, sejak akhir ini ada keserabutan yang datang menyinggah. Aku fikir, ini ujian Tuhan, dia tahu aku mula asyik dengan dunia (barangkali dijangkit wabak Hubb al-dunya (cintakan dunia), karahiyah al-maut (bencikan mati). Jadinya Tuhan, mahu aku segera tingkat rasa rindu dan taubat pada Dia. 


Tuesday, February 11, 2014

3 soalan.

Ini aku terfikir
Pelajar yang mendaftar hampir kesemuanya terbaik. Masing-masing punya rekod cemerlang dari segi akademik dan sahsiah peribadi. Jika nun, di penghujung tahun sesi persekolahan, 
pihak sekolah boleh merasa gembira, suka dan bangga kerana berjaya melahirkan pelajar cemerlang, 

aku tanya semula diri, 

jika diawalnya cemerlang apa yang luarbiasanya?

Bagaimana dan siapa yang mahu beri perhatian, mahu hulur tangan barang dipimpin, ditunjuk jalan buat pelajar yang biasa-biasa atau corot? Pelajar yang mencabar dari segi akhlak mereka. (aku tak suka guna istilah pelajar bermasalah sebab jelas konotasi negatif) 

Aku tanya kali kedua,

Dimana mereka dan ada sesiapa yang ambil peduli? Atau ini realiti hari ini?
Anda corot, kalian bengap. Selamat tinggal dunia, masa depan punah!

Dan sekali lagi aku tanya diri, buat kali ketiga.

Peranan aku dimana? 
[KHALIFAH MODEL SCHOOL SECONDARY]
Di sini. Di sekolah ini.
Kami punya impian dan kami berusaha mencapainya.
Kami mahu membantu mengisi lompong dalam sistem pendidikan yang ada sekarang. Maaf, aku sudah serik. Serius. Aku sudah insaf. Kalau dulu, aku berdegar-degar teriak kritik sana sini tentang betapa tenat dan bermasalah sistem pendidikan yang ada sekarang tapi sangatlah kontang sisi praktikalnya. Sekarang, aku memilih untuk serius berpijak pada realiti dan menabur amal, menyemai benih seawal mungkin.

Tiga soalan buat diri.



Sunday, February 2, 2014

Kembali pulih

Bismillah

Ok. Aku mengaku. Ini hanya alasan. Ini sekadar cliche sampingan.
Lama sudah terbiar sepi. Habis sunyi.
Kalau aku bilang 

"Tak sempat menulis, berkongsi cerita, berbagi pengalaman sebab kesibukan..bla, bla, bla"

Terang-terangan aku sekadar cari alasan.
Sekali lagi aku minta maaf. Serius.
Hakikatnya, tak sepatutnya aku sibuk beralasan kenapa tak sempat meluah akal fikiran, masa memang akan tetap sama tak kira status kalian. Ia tak pernah tunggu, apatah lagi mahu menberi peluang kedua. Mahu ditebus barang sejam dua yang hilang tanpa sebarang bekal amal?
Belek semula surah demi masa. 

Itu --- > manusia sentiasa dalam kerugian.

Yang boleh dikawal adalah soal mengurus masa dalam celah-celah kesibukan tugas harian.

Kalau tanah subur ditabur benih, dibiar lama, dijaga rapi hasilnya nampak buahan merimbun. 
Berkat jadi sumber jualan. Rezeki dari langit hasil usaha tapak tangan.
Banding dengan laman tak seberapa ini andai terbiar hanyut, habis otak mundur. Sendirian aku yang rugi.

Kisahnya:

Mula dari disember tahun lepas rezeki Tuhan aku diterima menjadi sebahagian keluarga Khalifah Foundation. Sebuah institusi pendidikan swasta yang punya visi dan misi besar untuk masyarakat.
Boleh baca di sini untuk tahu lebih lanjut.

Dan sememangnya, rezeki terpilih menjadi sebahagian dari kelompok manusia yang hebat di situ, harus dipikul juga satu amanah dan tanggungjawab besar di pundak.

Dan tahun 2014 ini bakal jadi satu kisah yang berbilang warna dan pelbagai rasa aku kira.
Di depannya; ujian, masalah, cabaran dan peluang bakal menyusul. Semuanya perlu aku tempuh, sebab melarikan diri dari tiap sesuatu tidak akan pernah menyelesai masalah.

Dan mulut mengungkap bismillah.
Tawakal dan redah!


Sengaja aku muat turun gambar bersaiz besar. Simbolik mahu punya keluasan jiwa yang tenang,
sekadar bermimpi dan berangan. Terbaring sendirian, termenung merasa kebesaran Tuhan. Dan hasilnya tercurah di laman.

[Kredit]

p/s: Siapa sangka rezeki aku di bidang pendidikan. Ya. Hati dan jiwa aku dekat dengan mendidik. Berkawan, berinteraksi dan mengenal anak-anak muda remaja disekolah. Nanti akan aku kongsi kisah pengalaman selama sebulan menjadi pendidik di Khalifah Model School Secondary (KMSS). Moga Tuhan redha.

Thursday, January 2, 2014

Penghujung


Seminggu sebelum menjengah tahun baru, Tuhan kirim rezeki.
Satu pakej.

Demam panas
Selera makan menurun
Loya, mual
Pening
Sakit-sakit
Lenguh badan

Sekadar terbaring. 
Letih
Hampir seminggu
Berat susut.
Muka jadi cekung. Kurus bertambah kurus.

Menjelang tahun baru
Januari yang baru, 
Tuhan pinjamkan semula kesihatan.

Alhamdulillah

Harapnya sakit ini jadi rezeki dosa dicuci.
Tuhan angkat dosa aib.

Dan syukur

Nyawa aku masih berdenyut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis